PM Cameron tersilap percaturan dalam perkara referendum ini. Hal yang sebegini kompleks adalah amat berisiko untuk ditangani oleh rakyat terbanyak. Namun, beliau menggambil tanggungjawab dengan meletak jawatan. Hal ini perlu dilazimi oleh pemimpin-pemimpin negara membangun. Keputusan ini bukan diambil secara terburu-buru tetapi adalah penjelmaan kepada kematangan politik.
Subuh pagi ini saya teringat kisah yang disampaikan oleh SS Dato Dr. Zulkifli al-Bakri mengenai Khalifah Umar al-Khattab. Amirul Mukminin ke-2 ini ditikam pada waktu subuh dan dikatakan wafat selepas waktu zohor. Dalam keadaan menderita musibah inilah beliau bersungguh masih mahu mendirikan solat dan apabila dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian beliau titipkan kata-kata yang menjadi kenangan umat Islam dengan menzahirkan bahawa seseorang ini bukan Islam jika tidak bersolat. Inilah antara contoh modal insan yang mendapat didikan langsung daripada manusia agung Rasullullah SAW. Moga kita diberikan hidayah, kekuatan, kefahaman dan rahmat untuk menyantuni peribadi unggul ini.
Di keheningan pagi ini juga saya ditemukan dengan jawapan mengenai pengembaraan akademik. Pada satu ketika, saya anggap pengembaraan akademik hanya untuk melazimi keperluan dunia. Seseorang punya kebarangkalian untuk mendapat pendapatan yang lebih baik dengan kelulusan akademik yang lebih tinggi. Hal ini sekurang-kurangnya terbukti benar di dalam dunia akademik. Pemegang ijazah kedoktoran akan langsung dinaikkan pangkat ke pensyarah kanan. Namun, di akhir Ramadhan 1437 ini saya akhirnya mengerti perngembaraan menuntut ilmu ini adalah bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah azza wajalla.
Pada penghujung Ramadhan 1437 ini juga kami sekeluarga menerima berita gembira. Insya allah Kasih Qalesya, puteri sulung kami, akan ditemani adik dalam masa sembilan bulan lagi. Alhamdulillah. Semoga Allah mempertemukan kita dengan lailatul qadr pada malam ini dan diberi kesempatan menjadi pelajar Madrasah Ramadhan 1438.